Sunday, March 18, 2007

Jendela Hikmah: Ilmu keibubapaan jamin tarbiah anak

From Berita Harian http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Agama/20070315233211/Article/



The need to always improve our knowledge about our parenting!







Perkongsian pintar penting dalam merealisasikan matlamat pendidikan keluarga















DIDIKAN TERBAIK: Ibu bapa berperanan dalam mendidik masa depan

anak dari segi akhlak untuk melahirkan individu yang salih.


BELAJAR rajin-rajin, abah tak ada harta dan ilmu adalah harta paling berharga yang abah boleh tinggalkan kepada anak.




Begitulah ungkapan yang sering dilafazkan oleh ayah ketika kecil dan ia
adalah motivasi paling berkesan kepada diri saya hingga ke hari ini,
terutama selepas mempunyai anak sendiri.



Abah dan arwah emak
dalam kepayahan hidup sentiasa berkorban dan berusaha untuk mendidik
kami adik beradik. Pilu mengingatkan bagaimana abah yang hanya
berpendapatan kecil, berkebun dan memancing selepas pulang kerja demi
menampung perbelanjaan harian dan arwah ibu bangun seawal jam 3 pagi
untuk membuat kuih untuk dijual, di samping mengambil tempahan menjahit
baju.



Rumah kami dulu juga tidak ada banyak perabot dan
perkakas, yang ada hanya keperluan asas. Abah sering mengingatkan arwah
emak supaya tidak membazir duit dan sentiasa mendahulukan pendidikan
anak.



Pengorbanan dan semangat tinggi ditunjukkan ibu bapa
saya mungkin juga dapat dirasai oleh pembaca dan kita mesti sentiasa
menghargai jasa ibu bapa kita. Siapalah kita tanpa pengorbanan besar
mereka.



Konsep pengorbanan diajar kepada kita dalam al-Quran
antaranya kisah Nabi Ibrahim a.s dan Siti Hajar sebagai ibu bapa serta
Nabi Ismail a.s sebagai anak yang patuh dan taat kepada Allah.




Setiap ibu bapa harus bersikap gembira apabila mendapat rezeki berupa
anak. Allah menceritakan di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim a.s
apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan
seorang anak lelaki, lalu Nabi Ibrahim a.s menyatakan kegembiraannya
dengan mengucapkan selamat sejahtera seperti firman Allah dalam
al-Quran yang maksudnya: “Dan sesungguhnya telah datang utusan-utusan
Kami kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka
berkata: “Selamatlah! Dia menjawab, “Selamat! (Surah Hud, ayat 69)




Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha
untuk menjadi ibu bapa berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat
keredaan Allah SWT. Tugas ini bukan suatu yang mudah dan ia menuntut
pengorbanan besar.



“Setiap anak dilahirkan secara fitrah,
kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Antara pengorbanan yang
perlu sentiasa dilakukan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu
keibubapaan tidak kira pada peringkat mana umur anak.



Ilmu
sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga.
Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap dan kaedah
yang paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak.



Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit.




Sejak dari dalam kandungan seorang ibu bapa juga perlu banyak berkorban
dengan menjaga akhlak dan ibu mendapat makanan berkhasiat serta
sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dikandung sihat dan menjadi
anak yang salih.



Anak dalam kandungan hendaklah dibacakan
dengan ayat suci al-Quran supaya anak sentiasa mendengar kalimah Allah
sejak dari kandungan lagi.



Proses kelahiran dan menyusukan
adalah pengorbanan yang tidak terhingga seorang ibu. Ibu bapa
berkewajipan memenuhi keperluan anak baik berupa kebendaan mahupun
kerohanian.



Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini.
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang telah
cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang-orang yang
menjadi tanggungan makan minumnya.” (Riwayat Abu Daud)



Hari
ini selain daripada bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi
tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu kita lakukan ketika
berusaha bekerja dan memastikan rezeki dicari adalah halal.



Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan saja pendidikan agama/rohani anak.




Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat
jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat
pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam
merealisasikan matlamat pendidikan anak.



Ibu bapa perlu bijak
memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang
menitikberatkan agama dan terutama solat kerana cara paling tepat
mendidik anak mengenal Allah ialah dengan melatih mereka untuk
mengerjakan solat.



Memandangkan betapa pentingnya solat
sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi
Ibrahim a.s memohon kepada Allah agar dirinya dan keturunannya
dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat seperti firman
Allah yang maksudnya: “Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang
mendirikan solat dan (begitu juga) anak cucuku, wahai tuhan kami,
terimalah doaku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)



Begitu juga
Luqman, salah satu wasiat kepada anaknya seperti disebut dalam al-Quran
yang maksudnya: “Hai anakku, dirikanlah solat.” ( Surah Luqman, ayat 17)




Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama
untuk mendidik anak beraqidah tauhid. Mereka mesti terlebih dulu
mendirikan solat dan sentiasa berbincang dan meneruskan kesinambungan
pentarbiahan anak di rumah dan tidak menyerahkan tugas ini seratus
peratus kepada pengasuh atau guru sahaja.



Anak hendaklah
dibelai dengan penuh kasih sayang. Untuk tujuan ini ibu bapa mesti
terlebih dulu sentiasa membaiki akhlak diri supaya anak sentiasa
dilihat dengan pekerti mulia dan insya-Allah terdorong untuk mencontohi
ibu bapa mereka.



Hadis yang maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya.” ( Riwayat Abu Saikh)




Dalam hal ini Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah
dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anaknya seperti firmannya yang
bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan marah serta memaafkan orang
lain dan Allah mencintai orang-orang yang berlaku baik.” ( Surah Al-
Imran, ayat 134)



Proses pentarbiahan anak mengambil masa yang
panjang dan ia sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa
juga bentuk pengorbanan dilakukan di samping terus berdoa untuk
kesejahteraan anak.



“Wahai tuhan kami, anugerahkanlah kepada
kami dari isteri-isteri dan keturunan kami perkara-perkara yang
menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang
yang bertaqwa.,” (Surah Al- Furqan, ayat 74)



Setiap pengorbanan
juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri kita
sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa kita mesti sentiasa berusaha
menjadi contoh kepada anak kita dan ia kunci kejayaan dalam melahirkan
anak yang salih wal musleh.



Penulis adalah seorang pengusaha Taska dan Tadika. Boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: